Saturday, October 18, 2008


umno bukan pembuli: PM
Oleh Azman Zakaria, Rohaniza Idris dan Syuhada Choo Abdullahbhnews@bharian.com.my
ABDULLAH bersalaman dengan Datuk Seri Ong Ka Ting sambil diperhatikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas beliau menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-55, di Wisma MCA, di ibu negara, semalam.
Pembangkang cuba hasut komponen BN KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menegaskan Umno tidak pernah membuli parti komponen Barisan Nasional (BN), sebaliknya dakwaan itu dilakukan pembangkang untuk membentuk persepsi negatif di kalangan ahli dan rakyat terhadap pemimpin BN serta kerajaan. Perdana Menteri berkata, tidak pernah wujud buli oleh Umno dan beliau sendiri tidak tahu untuk membuli.

"Tiada berlaku buli, kita sama-sama sahabat... mana ada buli. "Kalau kita buli dan ini cara kita, saya percaya sudah banyak parti komponen meninggalkan BN, tentu mereka tak suka kepada Umno... tak begitu (tidak buli). "Ini sebenarnya pandangan atau strategi yang sentiasa disebut-sebut oleh parti pembangkang. Isu Umno buli parti lain dalam BN tidak tercetus dan tidak bermula daripada parti komponen. Sebenarnya, setakat yang saya tahu daripada apa yang saya baca dari surat khabar, ia tidak bermula daripada sungutan parti komponen BN," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-55, di Wisma MCA di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang tidak bertanding mempertahankan jawatan presiden parti itu serta pemimpin parti komponen BN. Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, DAP memang berniat memburukkan MCA dan Gerakan supaya orang tidak suka kepada parti itu dan pemimpinnya, manakala Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) juga mengambil sikap untuk memperlecehkan MIC dan Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu. "Itu kerja mereka untuk melemahkan kita, kerja mereka untuk lahirkan kebencian ahli kepada pemimpin... itu yang berlaku. Kalau buli, kerajaan tak boleh berjaya, tak akan ada pembangunan. "Anda fikir orang ini mahu dibuli?... anda fikir Ka Ting mahu dibuli, anda fikir Samy Vellu mahu dibuli... (Tan Sri Dr) Koh Tsu Koon atau (Datuk) M Kayveas mahu dibuli?," katanya.
Menjelaskan pada sidang media kemudian, Abdullah berkata ahli parti perlu memahami bahawa itu adalah strategi pembangkang untuk mewujudkan persepsi tidak baik terhadap BN. "Mujurlah pemimpin memahami dan kita sentiasa baik dan sentiasa bekerjasama walaupun dalam situasi apa sekalipun," katanya. Dalam ucapannya Abdullah juga berkata, perkara penting yang perlu difahami oleh parti komponen ialah terus berkawan dengan baik meskipun pada ketika BN melalui masa kurang baik. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, pada 8 Mac lalu, katanya, Presiden MCA ada menemuinya meminta supaya kuota MCA dalam jemaah menteri dikekalkan meskipun parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya. Katanya, itulah yang beliau lakukan dengan sentiasa mengambil kira wakil parti komponen dalam Kabinet, seperti juga ketika ramai calon MCA tewas di Pulau Pinang pada pilihan raya umum sebelum itu. "Ada masanya Umno juga menghadapi masalah. Bila hadapi masalah, kita tahu parti komponen bantu dan beri kekuatan kepada Umno, ini tentu sekali kita rasa amat senang kerana ada kerjasama tulen," katanya. Beliau juga berkata, kekuatan dalam BN mesti wujud secara berterusan dan tidak digunakan sebagai senjata untuk mengugut atau memberi tekanan. "Kalau kita kuat, gunakan kekuatan itu untuk memperkuatkan lagi BN supaya perjuangan BN lebih berkesan. Itu cara untuk pastikan pemerintahan kita berkesan dan membawa pembangunan yang diharapkan rakyat," katanya. Sepanjang BN memerintah, katanya, beliau tidak mengatakan BN tidak menghadapi masalah atau tidak melakukan kesilapan tetapi jika diambil secara keseluruhannya, perkara yang membawa kebaikan adalah lebih banyak daripada yang kurang baik. Bagaimanapun katanya, BN mesti mengambil kira pelbagai perkembangan semasa dengan mengambil kira aspirasi golongan muda serta memperbetulkan kesilapan. "Yang penting kita nak pastikan kesilapan lalu tidak diulangi," katanya. Mengenai Ong yang tidak lagi akan memegang jawatan politik peringkat pusat MCA, Abdullah berkata, presiden MCA itu bukan seorang pemimpin yang lemah malah adalah seorang presiden yang kuat. "Saya tidak mahu apabila dia bersara nanti, orang andaikan dia pemimpin lemah. Betul dia tidak bernada kasar... tapi dalam kelembutan, dia seorang yang memang berkesan," katanya.


Konvensyen 2009 bincang cadangan dua timbalan: PM KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, cadangan supaya jawatan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditambah menjadi dua akan dibincangkan pada Konvensyen BN tahun depan. Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, apa juga pandangan yang hendak dikemukakan oleh sesiapa juga berkaitan BN perlu dibincangkan pada konvensyen berkenaan.

"Saya tahu banyak orang ada macam-macam idea dan pandangan, tapi perkara ini perlu dipertimbangkan sebaik-baiknya supaya apa yang kita lakukan membawa kebaikan kepada parti. "Saya belum pasti cadangan daripada parti komponen, kita perlu bincang... yang penting kita perlu memahami latar belakang sejarah kita, apa yang sudah kita laksanakan adalah peraturan yang sudah berjalan dengan baik dan elok, berkesan serta tidak timbul perbalahan mengenainya. "Kita akan bincang... kena tahu siapa yang mahu bercakap, kena tahu juga kerana parti lain tentu ada pandangan lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-55, di Wisma MCA di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan pemimpin parti komponen BN. Kelmarin, Pemuda MCA mencadangkan supaya struktur BN dikaji semula dengan penambahan satu lagi jawatan Timbalan Pengerusi untuk diisi parti komponen kedua terbesar itu. Ketuanya, Datuk Liow Tiong Lai, berkata perubahan itu perlu dilakukan supaya kepemimpinan BN memperlihatkan kesesuaian kedudukan, kepentingan dan perwakilan semua parti komponen mengikut keadaan semasa. Abdullah berkata, sebenarnya amalan yang ada sekarang bukan amalan tidak baik, tetapi amalan yang dapat menghasilkan kerjasama baik di kalangan parti komponen sejak dulu.
"Dalam masa 50 tahun, parti kita sama-sama bekerjasama serta bermuafakat dan sudah membawa kejayaan kepada negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat," katanya. Ditanya sama ada perkara itu akan dibincangkan pada peringkat Dewan Tertinggi BN, beliau berkata, ia tidak akan dibincangkan Dewan Tertinggi kerana ia isu besar. "Ini isu besar, ini bukan isu Dewan Tertinggi, ini isu konvensyen," katanya.

No comments: