Dr M tak berhak arah ahli Umno
Oleh Veena Rusli dan Hassan Omarbhnews@bharian@com.my
PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada pasukan keselamatan sebagai simbolik pelancaran perasmian Hari Malaysia sempen Ulang Tahun Kemerdekaan ke-51Malaysia Padang Merdeka di Kota Kinabalu, malam tadi. Turut sama (dari tiga, kiri) Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Datuk Shafie Apdal dan Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun. - Foto Bernama
Tindakan boleh cetus kemarahan: Pak Lah KOTA KINABALU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berhak mengarah ahli Umno dalam menentukan pemimpin yang layak dipilih menerusi persidangan Umno bahagian kerana bekas Perdana Menteri itu bukan ahli parti. Dalam nada tinggi, Perdana Menteri berkata, tindakan itu bukan saja menimbulkan kemarahan di kalangan ahli Umno, malah turut memecah-belahkan perpaduan parti.
"Siapa Tun yang sudah keluar Umno cuba nak buat arahan kepada orang Umno mengenai apa yang patut dilakukan? Umno tak perlu arahan orang yang tidak berada dalam parti lagi. "Dia berlagak sebagai pengarah pemilihan parti, menentukan orang itu boleh pegang jawatan itu dan ini. Apa hak dia buat begitu," katanya pada sidang media sejurus sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, malam tadi. Terdahulu, Abdullah dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah menghadiri Perayaan Hari Malaysia sempena Sambutan Kemerdekaan ke-51 di Padang Merdeka, di sini. Hadir sama Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Dr Mahathir menerusi blognya di www.chedet.com semalam, antara lain menyatakan penyokong Abdullah tidak boleh diberi tempat dalam kerajaan yang bakal diterajui Datuk Seri Najib Razak jika mahukan kelainan berbanding pentadbiran sedia ada. Sehubungan itu, kata Tun, penyokong Abdullah tidak wajar diberi pencalonan mengisi jawatan menjelang pemilihan parti tahun depan. Abdullah berkata, pemimpin dan ahli Umno berhak menawarkan diri untuk bertanding dan perwakilan persidangan mempunyai kuasa menentukan pemimpin yang akan mewakili mereka. "Saya diberitahu (Naib Presiden) Datuk Seri Mohd Ali Rustam dicuba oleh pihak tertentu supaya tarik balik (bertanding Naib Presiden).
"Apa yang tak elok mengenai Ali? Tentu ada yang sokong dan ada yang tak sokong. Biarkan ahli Umno membuat pemilihan. Ahli Umno tak perlu orang luar untuk memberi arahan pemilihan," katanya. Mengenai kenyataan Muhyiddin supaya Perhimpunan Agung Umno diadakan Disember ini berbanding Mac depan, Abdullah berkata, Naib Presiden itu tidak mempedulikan pelan peralihan kuasa yang diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini. "Dia tak endah sangat keputusan yang dah dibuat. MT sudah setuju. Najib dengan saya sudah ada persetujuan," katanya. Ditanya sama ada pihak tertentu yang mahu menyingkirkan beliau, Abdullah berkata: "Mungkin. Saya sedia pergi apabila saya selesai kerja saya," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment